SEDIA BERI KERJASAMA KEPADA SPRM



14sedia
ALOR SETAR 14 Ogos - Kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melakukan siasatan berhubung aduan melibatkan penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu mahupun pihak yang didapati terlibat dalam isu rasuah atau penyelewengan.
“Jika ada laporan dibuat berkaitan mana-mana projek yang diragui, kita bersedia beri kerjasama yang diperlukan. Bagaimana pun, kita serahkan pada SPRM untuk jalankan siasatan,” katanya, selepas majlis pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, hari ini.
Menurutnya, jika terbukti wujud penyelewengan, pihaknya tidak teragak-agak membantu dalam siasatan terbabit.
“Kalau ada kesalahan yang dikesan, terpulang kepada SPRM untuk ambil tindakan,” katanya.
Ahmad Bashah berkata demikian bagi mengulas tindakan Pemuda Pas Kedah yang membuat laporan SPRM berhubung projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kuala Nerang di Kampung Mani, kerana didakwa berlaku penyelewengan dana kerajaan Persekutuan.
Ahmad Bashah berkata, bagaimana pun pihaknya akan meneliti bentuk tuduhan yang dilemparkan termasuk mengenal pasti individu disyaki terlibat sekiranya dakwaan itu benar.
“Mereka baharu sahaja buat laporan itu, kerajaan negeri akan teliti isu yang dibangkitkan. Pembinaan loji rawatan air dan baik pulih prasarana air adalah sebahagian tanggung jawab kerajaan dan jika wujud rasa tidak puas hati kalangan rakyat, mereka berhak bersuara,” katanya.
Sumber : Sinar