PANTAU AJARAN SESAT



5pantau
SUNGAI PETANI 4 April - Semua pegawai masjid digesa memberi perhatian serius terhadap kegiatan penyebaran ajaran sesat oleh pihak tertentu di kawasan kariah masing-masing.
Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, masalah itu wajar diberi perhatian kerana kini banyak ancaman yang membimbangkan sedang menular termasuk pengaruh wahabi, syiah dan ajaran sesat yang lain.
"Selain itu, pegawai masjid juga perlu membuat pemantauan agar tiada golongan termasuk kalangan janda di kawasan masing-masing bergantung hidup kepada orang bukan Islam.
"Pegawai masjid atau imam perlu mainkan peranan ini kerana mereka tidak sekadar jaga pengurusan masjid, soal perkahwinan dan anak kariah sahaja,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-pegawai Masjid Kedah (PPMK) daerah Kuala Muda di Hotel Park Avenue, di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Agama daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Othman.
Mohd Rawi berkata, kini terdapat juga sesetengah imam tidak berani menegur pihak tertentu yang cuba ambil kesempatan untuk membuat aktiviti salah di kariah mereka.
"Pegawai masjid dan imam perlu bertindak dan segera membuat aduan jika ada pihak luar menyebar ajaran sesat di kawasan masing-masing.
"Sila kemukakan masalah berkenaan kepada bahagian penguat kuasa agama daerah untuk memudahkan penyiasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk menaikkan kadar elaun yang lebih baik kepada imam, bilal dan siak di negeri ini.
“Saya sedang berusaha untuk mendapatkan seorang pegawai khas bagi mengurus hal tersebut,” katanya.
Katanya, bagi memantapkan pengurusan masjid di negeri ini, pihaknya juga sedang merancang untuk membawa imam di negeri ini melawat masjid di selatan Thailand tidak lama lagi.
Sumber : Sinar