TUBUH NGO, USAHA SELAMATKAN GUNUNG PULAI


3tubuh
BALING 3 April - Satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal ditubuhkan oleh penduduk bagi menyelamatkan Gunung Pulai daripada menjadi mangsa operasi kuari.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Lama Pulai, Mohd Desa Murad berkata, objektif utama penubuhan NGO itu bertujuan meneruskan desakan kepada syarikat berkenaan agar menghentikan projek kuari.
Menurutnya, alternatif menggunakan saluran NGO juga dibuat memandangkan ia merupakan badan bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.
“NGO ini berkemungkinan dilancarkan sebelum bulan Ramadan, sama ada bulan April atau Mei nanti,” katanya.
Katanya, hasil dua desakan melalui perhimpunan aman sebelum ini, projek tersebut juga dilihat 'sepi' untuk seketika.
“Bagaimanapun, penduduk akan terus melakukan desakan dan membantah secara aman selepas ini,” katanya.
Sementara itu , seorang penduduk Mohd Nazry Hamid, 41, berkata, penduduk menyokong penubuhan NGO alam sekitar itu bagi menyelamatkan Gunung Pulai daripada operasi projek kuari.
“Dalam kampung ini ada hampir 30 malim gunung, peluang pekerjaan penduduk yang bergantung kepada gunung ini akan terjejas sekiranya projek itu dilaksanakan.
"Jalan juga akan rosak, gua-gua yang ada pada Gunung Pulai ini juga akan musnah,” katanya.
Hasrat penduduk untuk menubuhkan NGO itu turut mendapat perhatian dan disokong penuh oleh dua persatuan lain.
Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Daerah Cawangan Baling, Nordin Kayat, 71, berkata, sebagai persatuan yang dianggotai ramai penduduk tempatan, pihaknya menyokong penuh usaha mempertahankan warisan gunung tersebut daripada diceroboh.
Menurutnya, dia hairan dengan kerajaan sedia ada kerana meluluskan projek itu sedangkan pemerintah lalu tidak berbuat demikian.
“Saya rasa pelik dengan projek yang sudah dibatalkan operasinya oleh kerajaan terdahulu boleh diizinkan beroperasi pada hari ini, adakah bermakna kerajaan terdahulu lebih prihatin kepada nasib rakyat berbanding dengan kerajaan yang ada pada hari ini?.
“Saya berpendapat kerajaan sedia ada mesti menarik balik kelulusan yang telah diberikan demi menjaga kesejahteraan penduduk sekeliling, gunung itu juga menjadi sumber rezeki sebahagian daripada penduduk,” katanya.
Dalam nada sama, Pengerusi Persatuan Keturunan Opu Dahing Perani, Roshazliza Abdul Razak, 36, berkata, pihaknya akan membantu penduduk dalam aspek diperlukan bagi menjayakan penubuhan NGO berkenaan.
Sumber : Sinar