RUMAH TRANSIT SEMENTARA MANGSA PENDERAAN & GELANDANGAN



23transit
ALOR SETAR 22 Mac - Sebuah rumah transit yang dikelola oleh Majlis Kebajikan Negeri Kedah (MKNK) dijangka beroperasi pertengahan April ini bagi menempatkan warga emas, gelandangan dan mangsa penderaan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Md Noor Chik berkata mereka akan ditempatkan buat sementara waktu, tidak lebih dari dua minggu, sebelum mereka diserahkan kepada pihak bertanggungjawab.
"Mereka yang ditempatkan di rumah transit ini ditahan dalam operasi oleh agensi penguatkuasaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti gelandangan atau warga emas dan mereka yang memerlukan perlindungan akibat penderaan.
"Rumah transit ini bertujuan untuk kesejahteraan sosial dan turut membantu gelandangan mendapatkan pekerjaan yang sesuai," katanya selepas mesyuarat agung tahunan Majlis Kebajikan Negeri Kedah di sini, hari ini.
Beliau berkata rumah transit yang terletak di Jalan Kota Tanah, Tongkang Yard di sini yang dikelola oleh MKNK mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM150,000 setahun.
Md Noor yang juga Setiausaha Kehormat MKNK berkata rumah transit tersebut boleh menampung kira-kira 30 induvidu pada satu-satu masa yang akan dibantu oleh lima petugas sukarelawan JKM yang bertugas.
"Jika gelandangan tersebut sihat kita berusaha untuk membantu mereka mendapatkan kerja dan jika mereka terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) mereka akan ditempatkan di pusat kemahiran kelolaan JKM," katanya.
Beliau berkata rumah tersebut juga akan digazetkan sebagai kawasan selamat dengan kawalan keselamatan yang ketat demi keselamatan dan kesejahteraan penghuni terbabit.
Terdahulu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hadir pada perasmian mesyuarat agung tahunan MKNK kali ke-11 dan menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota jawatankuasa MKNK.
Sumber : BERNAMA