MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MKNK



24mesyuarat
ALOR SETAR 24 Mac - Majlis Kebajikan Negeri Kedah (MKNK) merupakan satu badan induk yang mengandungi 47 pertubuhan bukan kerajaan di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kategori.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, betapa besarnya sumbangan Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang dikendalikan dan semua pihak juga telah berjaya mentadbir dan mengurus pertubuhan masing-masing.
“MKNK menaungi pertubuhan termasuk anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, sindrom down, kanak-kanak termasuk yang cacat mental serta fizikal,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-11 MKNK Tahun 2016 yang diadakan di Hotel Tabung Haji.
Menurutnya, mesyuarat agung yang diadakan itu merupakan tahun pemilihan jawatankuasa baru bagi mentadbir MKNK untuk dua tahun akan datang.
“Ini kerana melalui pertubuhan ini, kita dapat merealisasikan hasrat dan naluri kita untuk berbakti kepada agama, bangsa dan Negara. Saya berharap kita dapat meneruskan khidmat dalam menjayakan pelbagai program kebajikan di bawah pertubuhan masing-masing,” ujarnya.
Beliau memberitahu, MKNK sehingga kini telah melibatkan diri dengan mengurus dan mentadbir Taska 1Malaysia dan tidak lama lagi akan membuka serta mengurus tadbir Rumah Transit di Jalan Kota Tanah Alor Setar dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah.
Menteri Besar berharap agar MKNK akan kuat dan dapat bersama membantu kerajaan dalam menangani isu-isu kebajikan kepada pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan.
“Sesungguhnya masyarakat yang berada di dalam golongan kurang bernasib baik ini memerlukan sokongan badan bukan kerajaan agar mereka dapat diterima oleh masyarakat serta MKNK di samping menyahut cabaran bagi merealisasikan hasrat berkenaan,” tambahnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan serta Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob; Naib Yang Dipertua MKNK, Profesor Dr Hamsiah Ismail; Pengerusi Tetap MKNK, Dato’ Mukthi Abdullah dan Timbalan Pengerusi Tetap MKNK, Puan Zainab Hj Man @ Abd Rahman.
Sumber : UMTK