PEMBERIAN SURAT HAK MILIK TANAH KEPADA PENEROKA



20Pemberian
CHANGLOON 20 Mac -  Kerajaan Negeri tetap merasai susah payah yang terpaksa dihadapi oleh peneroka-peneroka felda untuk mendapatkan surat hak milik tanah mereka selepas bertungkus-lumus dalam meneroka tanah berkenaan sejak sekian lama.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Pejabat Tanah Daerah diberi tanggungjawab dalam memproses setiap hak milik tanah dengan sebaiknya.
“Pemberian surat hak milik tanah kepada peneroka merupakan saat-saat yang dinantikan oleh setiap peneroka yang sudah lama menunggu dengan penuh sabar,” jelasnya pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Daerah Kubang Pasu yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Felda Laka Selatan.
Menurutnya, penantian peneroka Felda Laka Selatan selama 31 tahun berakhir apabila mereka memperolehi surat hak milik tanah masing-masing pada hari yang bersejarah itu.
“Tanah yang dimiliki oleh peneroka-peneroka Felda Laka Selatan ini merupakan tanah Hutan Simpan Bukit Kayu Hitam yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan diberikan kepada Felda pada tahun 1981,” ujarnya.
Menteri Besar memberitahu, proses itu mengambil masa selama 31 tahun kerana ia memakan masa yang agak lama kerana ia merupakan tanah hutan simpan dan diletakkan di bawah Seksyen 23 (1) 1937.
“Pemberian surat hak milik tanah ini membuktikan bahawa kerajaan Negeri begitu mengambil berat terhadap permasalahan peneroka-peneroka di negeri ini,” katanya.
Dalam majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan bantuan bencana serta kerusi roda di samping pemberian insentif berupa sijil dan peralatan projek pertanian kepada penerima-penerima.
Turut hadir dalam majlis itu ialah isteri Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hizam Awang Ahmad; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Bakar Din; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Tuan Haji Muhammad Helwi Harun dan  Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Dato Hajah Azuyah Hassan dan Ketua Peneroka Felda Laka Selatan, Encik Hassan Othman.
Sumber : UMTK