GENERASI MUDA ASET MASA HADAPAN



24generasi
KOTA KUALA MUDA 24 Mac - Generasi muda terutama pelajar diharap dapat meningkatkan kefahaman diri dengan ilmu pengetahuan yang berguna dalam usaha bersama-sama Kerajaan bagi membangunkan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan serta Pembangunan Insan, YB. Dato’ Aminuddin Omar berkata, golongan muda merupakan aset negara yang diharap mampu menerapkan nilai-nilai yang baik serta mempunyai sahsiah diri yang terpuji.
“Kerajaan Negeri melalui Portfolio Pembangunan Insan merangka pelbagai strategi untuk generasi muda terutama pelajar dalam usaha mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar mereka mampu berjaya dalam pelajaran sehingga melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Khalifah Muda Kedah Siri Kedua 2016 yang diadakan di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Kandi, Kampung Teluk Nipah.
Menurutnya, generasi muda perlulah mempunyai jati diri yang tinggi serta sanggup menghadapi cabaran dalam dunia yang serba mencabar ini melalui jiwa yang kental dan sahsiah diri yang sejati.
“Saya berharap peserta yang menyertai program ini dapat menimba pelbagai ilmu agar mereka mampu berjaya dalam mengejar cita-cita di samping beristiqamah dalam diri agar mampu menjadi insan yang terbaik,” katanya.
Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri tetap memberikan perhatian yang sewajarnya dalam membentuk generasi muda dengan menganjurkan pelbagai program yang menjurus kepada pembentukan sahsiah diri yang baik bagi melahirkan golongan muda yang berilmu pengetahuan.
Tambahnya, generasi muda juga perlu mempunyai semangat yang kental dan jati diri yang tinggi untuk bersama-sama Kerajaan dalam memakmurkan negara agar menjadi sebuah negara yang maju dan setanding dengan negara-negara lain.
“Program Khalifah Muda Kedah anjuran Kerajaan Negeri Kedah diharap mampu menjadi landasan terbaik dalam melahirkan generasi muda yang berketrampilan tinggi serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi,” jelasnya.
Sumber : UMTK