PEMBANGUNAN MAAHAD TAHFIZ DAN SEKOLAH PONDOK



18pembangunan
PADANG TERAP 18 Januari - Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dan bantuan sewajarnya secara konsisten kepada pembangunan maahad tahfiz serta sekolah pondok di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, sudah menjadi dasar Kerajaan Negeri memberi bantuan secara konsisten kepada pusat pengajian yang berdaftar melalui sumbangan zakat dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).
Menurutnya, perhatian seumpama itu secara tidak langsung dapat membantu Kerajaan Negeri untuk melahirkan golongan pendakwah bukan sahaja untuk negara ini, malah ke seluruh dunia.
“Pada masa ini, kita boleh tengok perkembangan maahad tahfiz yang begitu banyak seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan ada yang dalam kampung dan tidak kurang juga di tepi pantai seperti di Langkawi. Kebanyakan daripada maahad tahfiz berkenaan menggunakan pendekatan yang berbeza-beza,” ujarnya kepada pemberita selepas sesi lawatan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Pusat Pengajian Darussolihin.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir ke pusat pengajian yang sudah beroperasi sejak 2012 itu.
Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Shuib Ahmad berkata, terdapat 30 pelajar tahfiz yang berumur 12 tahun ke atas menuntut di pusat pengajian berkenaan pada masa kini.
Beliau memberitahu, pelajar tahfiz di situ akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran untuk tempoh masa sekurang-kurangnya tiga tahun ke Turki yang merupakan tempat lahirnya pusat pengajian Al-Quran tersebut.
“Buat masa ini, cawangan itu satu-satunya berada di negeri ini dan baru-baru ini, kami telah hantar sebanyak 40 pelajar ke Turki dan dibiayai sepenuhnya oleh Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turki. Pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran nanti akan mendapat pembiayaan biasiswa, makan-minum, buku, tempat tinggal, pakaian dan elaun,” katanya.
Sumber : UMTK