KEDAH HARAP KERAJAAN BERI BANTUAN TAMBAHAN



17kedahh
ALOR SETAR 17 Januari - Kedah menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan persekutuan memberi bantuan tambahan pada kadar segera kepada negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai segala bentuk sumbangan disalurkan kerajaan persekutuan, namun dengan keupayaan terbatas dalam menghadapi isu semasa bertahap global, bantuan tersebut amatlah diperlukan.
Katanya projek-projek yang dicadangkan kerajaan negeri seperti pembinaan Lapangan Antarbangsa Kulim (KXP) bukan hanya untuk kepentingan negeri ini tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Mengambil contoh pasukan bola sepak Kedah yang berjaya merentasi segala kekangan dan cabaran untuk menjuarai Liga Perdana, naib juara Piala Malaysia dan Pasukan Bola Sepak Terbaik 2015, Mukhriz berkata Kedah juga komited untuk menghidupkan semangat mahawangsa demi mencapai sesuatu di luar jangkaan.
Mukhriz berkata demikian dalam ucapannya sempena istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun ke-88 keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah, di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, institusi kesultanan wajib dipertahankan bagi memastikan ajaran Islam terus terlaksana dan tidak menyimpang daripada yang asal.
Mukhriz berkata, jika diimbau kembali, institusi pondok yang tersebar luas di seluruh negeri ini diasaskan oleh Kesultanan Kedah, apabila Sultan Muzaffar Shah memeluk agama Islam pada 1136 Masihi, dan memulakan pengajian agama Islam di istana dengan pembesar-pembesar negeri.
Amalan tersebut, menurutnya, berlanjutan sehinggalah pemerintahan Sultan Kedah ke-19, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah yang mengasaskan pondok-pondok agama atas nasihat mufti pada 1730.
Justeru beliau berkata, kehebatan pondok-pondok agama kini bermula atas titah perintah Sultan, dan sesiapapun tidak patut menyimpang daripada ajaran ‎Islam yang sebenar seperti dihasratkan Kesultanan Kedah.
Pada istiadat itu, sebanyak 68 orang dianugerahkan darjah dan bintang kebesaran Kedah.
Sumber : Sinar