MASALAH BANJIR KILAT AKAN DIATASI




    20masalah
    YAN 20 Oktober – Masalah kekerapan banjir kilat di Kampung Baru, Guar Chempedak yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat.
    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, YB. Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, beliau memandang serius masalah itu kerana kejadian banjir menyebabkan aktiviti harian ratusan penduduk terjejas.
    “Masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan dan kita sudah panjangkan aduan itu kepada Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU). Setelah lama menanti, akhirnya Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina semula sistem perparitan di kawasan berkenaan,” ujarnya.
    Menurutnya, projek pemasangan dan pembinaan semula sistem perparitan sepanjang 800 meter itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
    “Saya prihatin kepada masalah penduduk berkenaan sebab setiap kali hujan pasti berlaku banjir. Tidak sampai sejam air sudah naik. Kejadian itu menyebabkan aktiviti harian terjejas selain terpaksa menanggung kerugian kerosakan perabot dan peralatan elektrik,” tambahnya.
    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi turut menyifatkan bahawa projek itu dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
    “Kita berbincang dengan semua penduduk yang terlibat dan masing-masing bersetuju untuk membenarkan kerja-kerja pembinaan dilakukan di kawasan itu,” katanya.
    Sumber : UMTK