SELAMATKAN BAYI DARIPADA DIBUANG



18selamat
SUNGAI PETANI 18 Oktober – Kewujudan pelindung bayi atau baby hatch bukan bertujuan menggalakkan pembuangan anak luar nikah sebaliknya menyelamatkan nyawa bayi tidak berdosa.
Pengerusi Yayasan Orphancare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, pada peringkat mula ditubuhkan pada 2010, masyarakat memandang negatif apabila beranggapan penubuhannya menggalakkan seks luar nikah atau kelahiran anak luar nikah.
Menurutnya, matlamat Yayasan Orphancare amat jelas iaitu mahu menyelamatkan bayi daripada dibuang atau berdepan situasi malang akibat tindakan ibu yang berdepan kesukaran. Jelas sekali matlamat pihaknya bukan mahu menggalakkan lebih ramai buang anak sebaliknya mahu menyelamatkan nyawa bayi dan memberikan kasih sayang secukupnya apabila diserahkan kepada ibu bapa angkat.
“Sebelum bayi itu dilahirkan ia bukan tanggungjawab kita tetapi ibu bapa dan pihak lain supaya mendidik anak gadis supaya tidak terjebak melahirkan anak luar nikah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Baby Hatch yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat, YB. Dato’ Suraya Yaacob.
Beliau memberitahu, ibu yang tidak ingin memelihara anak yang dilahirkan boleh menghantar kepada petugas Orphancare Cawangan Utara di No.4400, Jalan Serampang 2/1, Taman Ria Jaya, Sungai Petani pada bila-bila masa.
“Namun, bagi yang tidak mahu identiti mereka didedahkan, boleh meletakkan bayi dalam kotak baby hatch di mana secara automatik lampu dan penyaman udara akan terbuka sebaik sahaja bayi dimasukkan. Dengan tertubuhnya pusat ini di Sungai Petani, menjadikan ia yang ketiga selepas Petaling Jaya dan Johor Baharu,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Encik Mohd Noor Chik.
Sumber : UMTK