LOJI RAWATAN AIR BARU DI POKOK SENA



2ambil
ALOR SETAR 19 Oktober– Masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan Pokok Sena dan Padang Terap dijangka dapat diselesaikan dengan pembinaan loji rawatan air baru Pokok Sena yang terletak di Sungai Santap, Jabi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim berkata, loji berkenaan yang bernilai RM50 juta itu dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi.
“Proses pengambilan tanah telah dijalankan, kita juga sudah melantik kontraktor dan kerja-kerja pembinaan loji ini akan bermula pada tahun ini juga. Kita cuba selesaikan projek ini dengan segera bagi memastikan masalah bekalan air tidak lagi mengganggu kehidupan seharian penduduk,” jelasnya.
Menurutnya, apabila projek berkenaan siap sepenuhnya masalah gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kawasan Kampung Bukit, Kampung Panchor, Felda Bukit Tembaga, Naka serta lain-lain lagi akan selesai.
Tambahnya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga telah mengambil langkah segera bagi membantu penduduk di kawasan yang sering mengalami masalah gangguan air di Pokok Sena dan Padang Terap dengan menghantar bekalan air kepada mereka yang terlibat menggunakan lori tangki.
Sumber : UMTK