KEDAH AUDIT BAHASA MELAYU



12kedah
ALOR SETAR 11 Oktober - Kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melaksanakan audit bahasa Melayu dalam usaha menyerlah penggunaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, komitmen padu kerajaan negeri itu antaranya termasuk dari aspek penggunaan bahasa pada papan tanda, nama jalan dan nama taman perumahan.
Katanya, kerajaan negeri juga terbuka kepada sebarang teguran DBP termasuk dalam usaha membabitkan kesusasteraan dan penerbitan dalam bahasa berkenaan.
“Ia membabitkan satu pengau­ditan kegunaan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan kerajaan ne­geri tidak terhad kepada penamaan jalan, taman perumahan dan lain-lain lagi tetapi juga persuratan kita dan sebagainya.
“Begitu juga dari segi penerbitan buku dan dokumen oleh kerajaan negeri seperti setiap kali sidang Dewan Undangan Negeri ada sahaja enakmen baharu yang digubal dan diluluskan, ini pun sebaiknya kita guna bahasa yang cantik kerana itu akan termaktub dalam undang-undang negeri. Jika prihatin, ini juga untuk anak cucu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2015 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan sebagai mewakili menterinya dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan.
Dalam majlis sama, kerajaan ne­geri dan DBP turut menandatangani memorandum persefahaman bagi membolehkan lebih banyak kerjasama dijalankan membabitkan perkara berkaitan bahasa Me­layu.
Tambah Mukhriz, kerajaan ne­geri berhasrat untuk menerbitkan lebih banyak karya sejarah dalam bahasa Melayu terutama berkaitan sejarah negeri.
“Penting bagi kerajaan negeri adalah bagaimana kita rakam sejarah kita melalui penerbitan karyanya. Kita tahu Persatuan Sejarah Kedah tidak henti buat kajian di seluruh rantau Asia untuk kutip pelbagai maklumat dalam pelbagai media mengenai sejarah Kedah. Bila jumpa dan bukukan dalam bahasa Melayu dapat tunjukkan betapa indahnya bahasa kita,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga mengalu-alukan kerjasama DBP dalam usaha menjayakan apa-apa juga hasrat kerajaan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Berucap dalam majlis tersebut, Mukhriz menyeru agar semua rakyat negeri ini sentiasa menyokong usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
“Kita seharusnya peka dan prihatin bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan bukanlah hanya tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya setiap entiti dalam masyarakat di negara ini seharusnya memainkan peranan,” katanya.
Oleh : Jamiliah Abdullah
Sumber : Utusan