PELADANG PERLUKAN TEKNOLOGI BAHARU



4peladang
ALOR SETAR 3 September - Pertubuhan peladang nege­ri ini digesa melengkapkan diri dengan teknologi baharu terutama berasaskan inovasi dalam sistem tanaman dan jentera tanaman demi untuk meningkatkan produktiviti.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pertubuhan peladang khususnya tidak boleh leka kerana transformasi besar sebegini akan memberi kesan dari segi persaingan mendapatkan peluang-peluang perniagaan.
“Sekiranya pertubuhan peladang tidak mempersiapkan diri, mereka akan ketinggalan serta mungkin membataskan pengembangan aktiviti perniagaan yang sedang dilaksanakan.
“Ini kerana sesetengah negara mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang jauh lebih rendah dengan produktiviti yang dihasilkan oleh pekerja mereka lebih tinggi.
“Untuk memastikan pertubuhan peladang terus relevan dan mampu bersaing, mereka perlu memberi tumpuan kepada beberapa aspek yang menjadi alat persaingan masa kini,” katanya ketika berucap me­rasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) di sini hari ini.
Tambah beliau, pertubuhan peladang mesti memastikan sesuatu pengeluaran, contohnya padi, meningkat dari purata 4.5 metrik tan kepada hasil yang jauh lebih tinggi.
“Untuk meningkatkan produktiviti, pertubuhan peladang tidak semestinya meningkatkan keluasan kawasan tanaman kerana kawasan yang tersedia semakin terhad disebabkan digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, pembangunan bandar, perumahan dan lain-lain lagi.
“Sebaliknya pertubuhan peladang boleh melaksanakan aktiviti yang berasaskan inovasi. Saya difahamkan PPNK sendiri beberapa kali berjaya membuat inovasi dalam sistem tanaman, kejenteraan ladang. Begitu juga kajian keberkesanan penggunaan jentuai.
“Melalui penguasaan teknologi maklumat atau lain-lain teknologi yang berkaitan dengan bidang usa­ha di pertubuhan peladang, maka kerja-kerja dapat dihasilkan dengan cepat, pantas dan lebih cekap.” katanya.
Berucap lanjut kata Mukhriz, kerajaan negeri berharap agar pertubuhan peladang menjadi juara dalam memperjuangkan nasib peladang.
“Jadikanlah pertubuhan peladang sebagai sebuah pertubuhan yang boleh memberi manfaat kepada ahli-ahli di bawah naungannya.
“Perlulah diingat, bahawa untuk menjadikan sesuatu organisasi atau pertubuhan peladang itu cemerlang dan berdaya maju, para jemaah pengarah dan kakitangan pengurusannya mestilah mempunyai integriti yang tinggi," katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan