BINA LEBIH BANYAK PI1M



3bina
BANDAR BAHARU 2 September - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta untuk meluluskan lebih banyak penubuhan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di negeri ini bagi membantu pelaksanaan Program Kedah e-Tutor yang dilancarkan Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir pada April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat serta Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Dato' Norsabrina Mohd. Noor berkata, sehingga kini masih banyak sekolah tidak mendapat capaian internet yang baik sehingga menyebabkan para pelajar tidak dapat memanfaatkan program tersebut sepenuhnya.
“Di kawasan saya sendiri (Bandar Baharu), hanya sekolah di Serdang saja yang mempunyai capaian internet memuaskan. Selebihnya memang bermasalah sehingga menyebabkan Program e-Tutor itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya di sekolah.
“Justeru saya difahamkan ada dalam kalangan sekolah yang sangat bergantung kepada PI1M ini bagi mengakses portal berkenaan dengan membawa para pelajar ke situ. Jadi saya amat berharap agar lebih banyak PI1M diwujudkan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan PI1M Sungai Taka berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Sungai Batu di sini, semalam.
Hadir sama Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara, Norrazlina Nordin, Penolong Pengurus Khidmat Jaringan Khas TM, Nazaruddin Abu Bakar serta Penghulu mukim tersebut, Muhammad Fazil Ahmad.
Mengulas lanjut, Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu berkata, beliau akan membantu pihak sekolah yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut untuk mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu bagi menyusun ja­dual penggunaan komputer di PI1M di situ.
“Pihak sekolah dan pengurusan PI1M sendiri mungkin boleh membuat jadual berkala mengenai penggunaan komputer di sini. Saya fikir, itu jalan terbaik untuk memastikan para pelajar tidak tertinggal daripada mengikuti Program e-Tutor yang disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri,” katanya.
Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan