KUALA LUMPUR 4 September - Kerajaan Kedah menyasarkan kedatangan 5 juta pelancong berkunjung ke negeri itu menerusi pelbagai program pelancongan yang diatur mulai Mac tahun depan sempena kempen 'Discovery Kedah 2016'.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kempen pelancongan yang bertemakan 'Kedah: Malaysia: Where it All Began' yang julung kalinya diadakan itu menyasarkan pelancong dari negara Asean seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.
"Kempen ini dijangka akan mengangkat nama Kedah sebagai satu destinasi pelancongan selain menekankan kepelbagaian destinasi pelancongan di negeri itu selain Pulau Langkawi.
"Kedah mempunyai banyak produk pelancongan menarik dan mengagumkan khususnya warisan sejarah melalui tapak peradaban tertua di Asia Tenggara dan Kesultanan Kedah sebagai salah satu pemerintahan beraja yang berterusan tertua di dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen "Discover Kedah 2016" sempena pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di sini, hari ini.
Mukhriz berkata, dengan pelbagai promosi pelancongan yang efektif, ia diharap dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negeri itu berbanding rekod 3.8 juta pelancong yang melawat negeri itu tahun lepas.
Mukhriz berkata, dengan pelbagai promosi pelancongan yang efektif, ia diharap dapat meningkatkan jumlah pelancong ke negeri itu berbanding rekod 3.8 juta pelancong yang melawat negeri itu tahun lepas.
"Di Kedah terdapat kira-kira 500 buah hotel termasuk Pulau Langkawi dan kita harap dapat menjana pendapatan ekonomi negeri dengan sasaran jumlah pelancong yang duduk di Kedah ini lebih dari seminggu," katanya.
Kempen berkenaan merupakan satu daripada usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Kedah, bukan sahaja sebagai destinasi pelacongan tetapi juga destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.
Sumber : Sinar