MASALAH BANJIR KILAT DIATASI



5masalah
YAN 5 September – Masalah kekerapan banjir kilat di Kampung Baru, Guar Chempedak yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat.
Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismaill berkata, beliau memandang serius masalah itu kerana kejadian banjir menyebabkan aktiviti harian ratusan penduduk terjejas.
“Masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan dan kita sudah panjangkan aduan kepada kerajaan persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU).
“Setelah lama menanti akhirnya kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina semula sistem perparitan di kawasan tersebut,” katanya.
Menurutnya, projek pemasangan dan pembinaan semula sistem perparitan sepanjang 800 meter itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya prihatin kepada masalah penduduk berkenaan sebab setiap kali hujan pasti berlaku banjir. Tidak sampai sejam air sudah naik.
“Kejadian itu menyebabkan aktiviti harian terjejas selain terpaksa menanggung kerugian kerosakan perabot dan peralatan elektrik,” katanya.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi turut menyifatkan bahawa projek itu dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan tersebut yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
“Kita berbincang dengan semua penduduk yang terlibat dan masing-masing bersetuju untuk membenarkan kerja-kerja pembinaan dilakukan di kawasan itu,” katanya.
Pada 4 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa penduduk di Kampung Baru, Guar Chempedak mendakwa sering mengalami banjir kilat.
Difahamkan, masalah itu berpunca daripada sistem perparitan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar