KEMUDAHAN SUKAN LEBIH SELESA



8kemudahan
KULIM 8 September - Penduduk di daerah Kulim boleh menikmati kemudahan sukan lebih moden dan selesa apabila sebuah kompleks sukan bernilai RM12.2 juta siap dibina di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Presiden Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Sdn Bhd, Datuk Annuar Mohd Safar berkata, kompleks sukan itu turut merangkumi kafetaria, taman rekreasi, trek joging serta gelanggang futsal dan badminton.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan tanah seluas 4.5 hektar untuk tapak kompleks berkenaan, dan kos pembinaan disediakan oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
"Ini salah satu usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur yang bukan sahaja kepada pekerja kilang, tetapi juga terbuka kepada penduduk sekitar kawasan perusahaan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kompleks itu daripada kontraktor kepada KTPC di sini, hari ini.
Kerja-kerja pembinaan kompleks berkenaan dijalankan oleh kontraktor daripada Melabuh Layar Sdn Bhd.
"Kita juga bercadang membina beberapa buah lagi gelanggang bola keranjang dan bola tampar di kawasan seluas 3.5 hektar bersebelahan dengan kompleks sukan yang sedia ada ini dalam tempoh terdekat", kata Annuar.
Sumber : Sinar