ASING SISA PEPEJAL KURANGKAN 14 TAN SAMPAH



1kitar
ALOR SETAR 1 September - Sebanyak 14 daripada 700 tan sampah dijangka dapat dikurangkan setiap hari di Kedah selepas pelaksanaan program pengasingan sisa pepejal di punca atau daripada rumah.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Fadzilah Hasan berkata, ini kerana sampah seperti botol plastik dapat diasingkan dan dikitar semula.

Katanya, hasil pemantauan di 19 kawasan perumahan seperti di Taman Arowana di sini dan Taman Seri Merbok di Pendang yang menjadi projek perintis bermula pada Jun lepas menunjukkan pengurangan sampah berbeza seperti sebelum ini.

Katanya pemeriksaan oleh penguatkuasa SWCorp pada setiap tong sampah di kawasan perumahan tersebut mendapati setiap isi rumah mengikut arahan yang ditetapkan dengan mengasingkan sampah dengan barangan yang boleh dikitar semula dengan meletakkan di tepi tong sampah.

"Ini membuktikan kita berjaya mendidik isi rumah di 19 kawasan perumahan itu. Penguatkuasa kita menerusi program Ops Mata Hati akan terus melakukan pemantauan di setiap tong sampah bagi memastikan wujudnya kesedaran itu sebelum penguatkuasaan akta pengasingan sisa di sumber dilaksanaan," katanya pada Majlis Pelancaran Perlaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 di sini hari ini.

Fadzilah berkata dalam program bertemakan 'sejuta botol satu impian', pihaknya telah mengedarkan 275,414 risalah dan surat kepada premis di negeri ini bagi membolehkan setiap isi rumah bersedia dan lebih faham dengan matlamat program berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga telah menjalankan kerjasama dengan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di negeri ini dengan melantik mereka sebagai rakan SWCrop yang mana mereka akan membantu menyampaikan maklumat kepada komuniti mengenai program itu.

"Setiap barangan kitar semula yang dijual kepada mereka, hasil jualan barangan kitar semula itu juga akan diserahkan kembali kepada persatuan penduduk kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya menumpukan program itu di kawasan perumahan terancang sahaja dan akan diteruskan secara berperingkat di kawasan kampung.

Menerusi program berkenaan isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal di punca hanya akan diberikan notis amaran sebelum penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang kepada mereka yang ingkar dilaksanakan bermula 1 Jun tahun depan.

Berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap penduduk yang enggan mengasingkan sisa pepejal.
Sumber : Sinar