Kedah Bina 28,081 Rumah Mampu Milik

22kedah
JITRA 22 Jul – Sebanyak 28,081 unit kediaman termasuk rumah kos rendah dan mampu milik dibina Kerajaan Negeri sejak dua tahun mentadbir negeri ini dan pencapaian yang memberangsangkan itu diyakini mampu melepasi sasaran 40,000 unit kediaman yang dijanjikan Kerajaan Negeri sehingga tahun 2018.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, permintaan terhadap rumah adalah tinggi terutama rumah kos rendah dan mampu milik kerana kebanyakan penduduk Kedah berpendapatan rendah.

“Jadi, kita meletakkan sasaran 40,000 rumah pelbagai peringkat sepanjang lima tahun sejak tahun 2013 dan kini sudah mencapai sasaran tahunan dengan lebih 20,000 unit berjaya diduduki dan dalam proses pembinaan,” jelasnya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS) iaitu projek milik Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikat, BDB Land Sdn Bhd.

Menurutnya, melalui TTIS, BDB akan mengetengahkan konsep pembangunan perbandaran hijau yang mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM532 juta. TTIS menawarkan sebanyak 1,615 unit kediaman pelbagai peringkat membabitkan rumah kos rendah, mampu milik dan mewah yang akan dibangunkan di kawasan seluas 80 hektar dan dijangka siap menjelang tahun 2018.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, daripada jumlah 28,081 unit kediaman itu, sebanyak 10,634 unit diluluskan tahun ini untuk dilaksanakan. Sepanjang tahun 2014, sebanyak 2,322 unit siap dibina dan 10,324 masih dalam pembinaan, manakala pada tahun 2013 sebanyak 4,801 unit kediaman dibina selepas Kerajaan Negeri yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan Negeri Kedah Darul Aman.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim dan Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Dato’ Izham Yusoff.

Sumber : UMTK