KULIM 22 Jul – Satu lagi projek
Kerajaan, Rimbunan Kasih bagi membantu golongan yang berpendapatan
rendah sedang giat dijalankan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,
Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd
Tajudin Abdullah berkata, projek itu akan memberikan kesan positif
kerana pesertanya terdiri daripada penduduk miskin.
“Mereka akan dihimpunkan di penempatan
baru dan di situ mereka akan bekerjasama memulakan hidup baru.
Penempatan baru ini juga akan disediakan aktiviti ekonomi dan setiap
pesertanya sendiri akan mengendalikannya bagi menjana pendapatan
mereka,” ujarnya ketika meninjau Projek Rimbunan Kasih Bandar Baharu di
Mukim Bagan Samak.
Menurutnya, seramai 100 peserta yang
terdiri daripada penduduk tempatan yang dikategorikan sebagai miskin
akan dipilih untuk menduduki penempatan baru itu. Terlebih dahulu, calon
peserta akan dipanggil menghadiri temuduga dan penilaian akan dibuat
secara teliti supaya sasaran menepati projek yang dirancangkan.
Beliau memberitahu, sebanyak 100 unit
rumah akan dibina dan pelbagai prasarana seperti surau, dewan, tabika
dan taman permainan kanak-kanak turut disediakan bagi kemudahan peserta.
Aktiviti perladangan dan pertanian turut diadakan di persekitaran
penempatan itu bagi memberikan pendapatan kepada peserta dalam menjana
ekonomi rumah tangga mereka.
“Aktiviti perladangan seperti Rumah
Hijau, penanaman buah-buahan, penternakan ikan dan sebagainya turut
diadakan. Ini memberikan mereka peluang untuk bekerja bagi menjana
pendapatan dan dapat meringankan sedikit bebanan yang terpaksa
ditanggung selama ini,” jelasnya.
Sumber : UMTK