ADUN SEDIA BELI SEMULA BANTUAN ALAT TANGKAP IKAN



18adun
MERBOK 17 Jun - Kecewa dengan sikap tidak bersyukur sebahagian nelayan tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain membuat tawaran untuk membeli semula peralatan menangkap ikan yang diberikan kerajaan menerusi beberapa siri bantuan sebelum ini.
Jelasnya, tawaran itu dibuat bagi mengelakkan peralatan tersebut terlepas ke tangan pihak yang tidak sepatutnya, sehingga me­rugikan golongan sasar yang menjadi tumpuan kerajaan.
“Saya kecewa kerana ada segelintir penerima bantuan ini diberitakan menjual peralatan seperti enjin dan bot fiber pada harga murah bagi mendapatkan untung atas angin sehingga mereka tidak langsung turun ke laut.
"Sedangkan peralatan itu diberi untuk membantu mereka menaikkan taraf hidup dalam jangka masa panjang. Jadi saya fikir lebih baik jualkan pada saya peralatan itu untuk saya berikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau bercakap kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan nelayan hasil peruntukan daripada Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri kepada 32 nelayan di Segantang Garam di sini hari ini.
Menerusi program bantuan itu, seramai 32 nelayan sungai dan persisir pantai menerima pelbagai peralatan menangkap ikan termasuk bot fiber, enjin, bubu plastik serta tangkul ketam yang melibatkan peruntukan sebanyak RM109,000.
Tajul Urus menambah, bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang, beliau kini mendapatkan kerjasama jawatankuasa kemajuan kampung (JKKK) serta persatuan nelayan bagi mengenal pasti individu yang benar-benar layak untuk mendapatkan bantuan tersebut.
“Kerajaan belanja besar kerana peralatan ini bukan murah. Tiba-tiba orang yang dibantu tidak me­lakukan perkara yang sepatutnya untuk menaik taraf kehidupan mereka sendiri.
“Jadi kalau mereka terdesak sangat mahukan wang, datang jumpa saya dan jualkan peralatan itu. Saya tidak akan marah. Daripada dijual kepada orang kaya, lebih baik beri jual pada saya untuk kita bantu orang yang betul-betul mahu berusaha,” katanya.
Beliau memaklumkan, setakat ini bantuan sebanyak RM300,000 sudah dihulurkan kepada nelayan-nelayan di dalam kawasan Tanjung Dawai hasil sumbangan peruntukan daripada UPE serta kerajaan negeri.
Oleh : Mohd. Rafie Azimi
Sumber : Utusan