NIKMAT BULAN RAMADAN




    18nikmat
    SIK 17 Jun - Sempena kedatangan Ramadan, sebanyak 559 masjid di seluruh negeri ini menerima sumbangan bagi mengimarahkannya sepanjang bulan berkenaan.
    Pengerusi Jawatankuasa Pe­ne­rangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ne­geri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, sumbangan wang tunai sebanyak RM1000 untuk setiap masjid itu diharap dapat membantu pihak masjid dalam melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan.
    “Sumbangan tersebut menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat tentang perkembangan agama Islam dan umat Islam di negara ini,” kata Mohd. Tajudin se­lepas menyerahkan sumba­ngan tersebut kepada imam-imam masjid seluruh Sik ketika program Pe­nyerahan Sumbangan Kepada Masjid-Masjid Daerah Sik Sempena Bulan Ramadan di Masjid An-Naim, Khariah Namek, semalam.
    Seramai 29 iman masjid mewakili masjid masing-masing menerima sumbangan tersebut yang diagihkan melalui Kerajaan Pusat di bawah agensi Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU).
    Beliau juga berkata, adalah menjadi tugas imam-imam masjid untuk mengangkat martabat agama Islam dan menyeru anak-anak kariahnya menjaga perpaduan dan keharmonian.
    “Islam sentiasa menyeru kepada kebaikan dan perpaduan, menjadi tugas kepada kita semua sebagai khalifah di muka bumi untuk memimpin dan membawa kebaikan kepada semua pihak.
    “Imam-imam dan jawatankuasa masjid juga berperanan untuk mengimarahkan masjid-masjid de­ngan pelbagai aktiviti keilmuan dan sebagainya di samping memupuk kesedaran di kalangan kariah mereka supaya menjaga kesucian agama Islam,” katanya.
    Sementara itu, Imam Masjid Kampung Landai, Yusoff Offman, 67, berkata, melalui sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu pihak masjid melakukan pelbagai aktiviti di sepanjang bulan Ramadan ini.
    Oleh : Norlia Ramli
    Sumber : Utusan