4X4 ANTARABANGSA JERLUN XTREME CHALLENGE 2015




    10keta
    JERLUN 10 Jun - Kelab Sokongan Kubang Pasu Jerlun buat julung kali menganjurkan Pertandingan 4x4 Antarabangsa Jerlun Xtreme Challenge 2015 yang diadakan di Kampung Pida Empat, Tunjang.
    Setiausaha Kelab Sokongan Kubang Pasu Jerlun, Nor Azelin Mansor berkata, program sempena sambutan perasmian Pejabat Daerah Jerlun itu turut mendapat kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Jerlun, Pentadbiran Peringkat Daerah Kubang Pasu dan agensi serta jabatan kerajaan dan swasta.
    Menurutnya, program itu dijalankan bertujuan memperkenalkan Kelab Sokongan Kubang Pasu Jerlun sebagai pertubuhan berdaftar yang menjalankan misi bantuan sukarelawan ketika kecemasan serta bencana di dalam Parlimen Jerlun dan Kubang Pasu.
    Sebagai usaha menarik kehadiran pengunjung, katanya, pelbagai acara menarik turut dianjurkan antaranya pertandingan 4x4 bermula dari Thailand dan menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia, pertandingan wau, pertandingan badang dan pertandingan karaoke yang terbuka kepada lebih 4,000 peserta.
    Tambahnya, turut disediakan adalah gerai pameran serta jualan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain jamuan malan bersama Ahli Parlimen Jerlun, YB. Dato’ Othman Aziz dan pertunjukan khas ‘motor cross’.
    Beliau memberitahu, program yang diadakan itu adalah bertujuan untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama antara agensi dan jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang terbabit sebagai sukarelawan ketika bencana banjir besar yang melanda Pantai Timur pada Disember 2014.
    Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir. Hadir sama ialah Ahli Parlimen Jerlun, YB. Dato’ Othman Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, YB. Dato’ Abu Hasan Sarif.
    Sumber :  UMTK