TALIAN KHAS PUTING BELIUNG BAKAL DIWUJUD



24talian
JERLUN 24 Mei – Kerajaan Negeri akan mewujudkan talian khas untuk membolehkan orang awam melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian puting beliung yang melanda negeri ini.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, berbanding banjir yang kerap berlaku serta boleh dijangka, puting beliung merupakan satu fenomena baharu yang sukar untuk diramalkan bila dan di mana bencana itu akan berlaku.
“Kita mungkin boleh sediakan di peringkat daerah nombor telefon di mana orang awam boleh hubungi sekiranya nampak puting beliung untuk mudahkan laporan dibuat dan tindakan bantu mangsa boleh diambil segera,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun.
Menurutnya, langkah berjaga-jaga di peringkat negeri perlu dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi puting beliung ini kerana kejadian itu sukar diramal. Sekiranya laporan mengenai kejadian puting beliung di sesuatu kawasan di negeri ini dibuat segera, ia boleh membantu penduduk di kawasan berkenaan berpindah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kecederaan dan kemalangan.
“Selalunya selepas puting beliung ini berlaku baru bantuan kepada mangsa dan tahap kemusnahan boleh dinilai. Lebih bagus sekiranya kita tahu kejadian berkenaan dengan lebih awal, jadi kita ada persediaan untuk lindungi kawasan yang terlibat,” ujarnya.
Sumber : UMTK