FESTIVAL HARI GURU TARIK LEBIH 20,000 PENGUNJUNG



17festival
ALOR SETAR 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini meluangkan masa selama hampir satu jam melawat Festival Hari Guru 2015 anjuran Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.
Kehadiran beliau bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada pukul 2 petang disambut Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa berjumpa dan beramah mesra dengan pempamer-pempamer, guru serta pelajar sekolah yang menghadiri festival tersebut.
Muhyiddin turut dibawa melawat gerai pameran Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan yang menawarkan pelbagai produk dan program menarik kepada para pengunjung.
Beliau turut diperkenalkan de­ngan pemain dram cilik, Nur Amira Syahira Zainul Abidin, 12, yang mula dikenali melalui laman sosial YouTube.
Yang turut hadir, Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.
Sepanjang tiga hari berlangsung, festival pendidikan terbesar negara yang bermula Khamis lalu berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung.
Festival berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya pameran, pertandingan nasyid, bola sepak dan memasak untuk guru serta pelajar sekolah.
Penaja utama festival itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan antara agensi dan syarikat yang turut mengambil bahagian ialah Adabi, Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, universiti-universiti tempatan, Lembaga Tabung Haji, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Buat julung kalinya, festival itu turut disertai Kedutaan Besar Indonesia, Vietnam, Thailand dan Brunei sempena pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Sumber : Utusan