MADA SASAR 2,600 USAHAWAN



24mada
JITRA 24 Mei - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan jumlah usahawan di bawah bimbingannya seramai 2,600 orang sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, YB. Dato’ Othman Aziz berkata, sasaran itu akan membabitkan pencapaian nilai jualan keseluruhan tahunan sebanyak RM120 melalui Industri Asas Tani (IAT) dan Asas Tani (AT). Sehingga tahun 2014, pihaknya berjaya membimbing usahawan seramai 2,524 orang berbanding sasarannya seramai 2,500 orang.
“Jumlah itu melibatkan seramai 1,236 usahawan IAT dan seramai 1,288 bagi usahawan AT melalui Program Pembangunan Usahawan MADA yang diwujudkan sejak 2006. Bagi 2014, kita mencapai sasaran nilai jualan sebanyak RM90 juta dengan pencapaian nilai jualan sebanyak RM112.8 juta,” ujarnya ketika berucap pada Program Coffee Talk bersama Agropreneur Muda yang diadakan di Darulaman Golf Club.
Mengulas mengenai Program Pembangunan Agropreneur Muda, beliau memberitahu, MADA berjaya melahirkan seramai 100 usahawan muda meliputi sektor IAT dan AT. Program itu membabitkan perusahaan produk pemprosesan makanan, tanaman, ternakan dan perikanan.
“Bagi tahun 2015, kita juga menyasarkan seramai 100 usahawan muda dilahirkan melalui program ini dan kita menetapkan beberapa teras panduan bagi mencapai sasaran ini,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Bahagian Industri Asas Tani MADA, Encik Ruslan Abd. Ghani Ahmad.
Sumber : UMTK