HIMPUNAN RIWAYAT ULAMA



24himpunan
ALOR SETAR 24 Mei – Penghasilan dokumentari 13 Tokoh Islam Kedah sejak zaman sebelum merdeka merupakan inisiatif yang tepat berikutan negeri ini mempunyai ramai ulama tersohor selain negeri terawal menerima syiar Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, penerbitan ini juga bertepatan dengan masanya, di mana kebelakangan ini Islam sering dijadikan bahan sendaan pihak tertentu.
“Tiba masanya kita tonjolkan keindahan dan keagungan Islam sejak zaman-berzaman. Kita perlu tonjolkan sejarah Islam negeri ini di mana Kedah menerima kedatangan Islam lebih awal berbanding Melaka dan Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pra-pelancaran dokumentari 13 Tokoh Islam Kedah yang melibatkan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan NBK Production bagi menghasilkan 13 episod.
Menurutnya, dokumentari itu akan memanfaatkan generasi muda untuk mengenali sejarah dan ketokohan Islam di Kedah. Ia juga boleh dijadikan sebagai rujukan dan diwarisi generasi akan datang. Kedatangan Islam memberi kesan besar kepada Negeri Kedah termasuk lahirnya golongan ulama dan pendakwah terkemuka namun, kisah mereka tidak diketahui atau hanya ada sedikit maklumat.
Sumber : UMTK