300 PENDUDUK JAYAKAN “PROGRAM GALAKAN MEMBACA”



24penduduk
JITRA 24 Mei - Lebih 300 penduduk di Kampung Kelubi Dalam dan Kampung Manggol Malau menjayakan Program Galakan Membaca Peringkat Perpustakaan Desa Zon Tiga Kubang Pasu.
Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPANK), YB. Aminuddin Omar berkata, program yang diadakan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh PPANK dalam usaha menggalakkan orang ramai membudayakan amalan membaca.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan memberitahu, peranan perpustakaan sebagai tempat menyimpan khazanah ilmu perlu dikunjungi oleh orang ramai untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu.
“Kita berharap program ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dan keluarga ke perpustakaan sebagai antara lokasi harian. Bagi ibu bapa, sikap suka membawa anak-anak ke perpustakaan akan memberi kesan positif dengan melahirkan generasi anak-anak yang suka membaca,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.
Sempena program itu, pelbagai aktiviti diadakan melalui kerjasama antara PPANK dan penduduk setempat antaranya kenduri kampung, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna, melukis poster dan anyaman.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah PPANK, Encik Hashimi Hassan dan Penyelia Perpustakaan Desa Zon Tiga Kubang Pasu, Encik Norhilmi Abd. Ghani.
Sumber : UMTK