25 PETANI KEMBALI KE SAWAH



25petani
POKOK SENA 25 Mei - Seramai 25 petani dari Pendang dan Hutan Kampung menerima kembali sawah mereka dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selepas diambil oleh pihak berkenaan bagi program pemulihan selama dua musim.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, MADA memulakan Program Pemulihan Tanah Jerlus dari 2013 hingga 2015 kerana kebanyakan tanah itu berisiko bagi aktiviti penanaman padi.
“Walaupun MADA mengambil masa selama dua musim tetapi setiap petani turut dibayar sebanyak RM2,645.50 sehektar setiap musim. Kita berharap dengan pemulihan tanah ini, hasil padi akan meningkat kembali dan jentera padi dapat masuk membajak serta mengambil padi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Semula Kawasan Pembatalan Dua Musim Penanaman Padi Bagi Program Pemulihan Tanah Jerlus di Kampung Tanjung Musang.
Menurutnya, MADA sudah melaksanakan kerja pemulihan kawasan tanah jerlus dengan peruntukan sebanyak RM28.79 juta. Program pemulihan tanah jerlus itu dilaksanakan meliputi tiga komponen iaitu pembatalan penanaman padi dan pemberian bantuan wang ihsan, melaksanakan kerja pemulihan tanah dan penyediaan tanah selepas kerja pemulihan.
“Bilangan mereka yang bersetuju menyertai usaha pemulihan dan membatalkan tanaman bagi keseluruhan kawasan MADA seramai 715 pesawah membabitkan lebih 1,029 hektar,” jelasnya.
Sumber : UMTK