ADSB, TOKACHI SEIKA JALIN USAHA SAMA



25jepun
ALOR SETAR 26 Mei - Ambang Dorongan Sdn. Bhd. (ADSB) yang merupakan syarikat pengeluar kuih muih tradisional sejuk beku di negeri ini menjalinkan usaha sama dengan Tokachi Seika Co., Ltd. dari Hokaido, Jepun untuk menghasilkan ‘daifuku’ sejenis kuih tradisi Jepun.
Pengarah Operasi ADSB, Nur Hazwani Aznan berkata, usaha sama dengan Tokachi Seika yang menghasilkan kuih beras pulut tradisi Jepun itu merupakan kerjasama dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) pertama dijalinkan ADSB.
“Kuih beras pulut tradisi dari Jepun ini mempunyai persamaan dengan kuih mochi yang terdapat di negara ini namun di Jepun inti di dalamnya menggunakan kacang merah.
“Pelaburan awal yang dilaburkan oleh ADSB ialah kira-kira RM200,000 dan untuk peringkat awal kita sasarkan pengeluaran 20,000 keping sebulan untuk tiga bulan pertama dan kita akan lihat perkembangan produk ini sebelum meningkatkan pengeluarannya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum perjanjian ( MoA) antara ADSB dengan Tokachi Seika di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Pada majlis itu, ADSB diwakili Nur Hazwani manakala Tokachi Seika diwakili oleh Presidennya, Hiroyuki Komano.
Yang hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob.
Menurut Nur Hazwani, pasaran untuk produk tersebut akan dijalankan oleh Tokachi Seika yang memfokuskan di negara-negara Asia seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan negara ini.
"Terdapat empat jenis inti yang akan dihasilkan oleh pihak kami iaitu kacang merah, teh hijau, kacang hijau dan kaya.
“Sekarang ini hanya dua peratus bahan mentah untuk menghasilkan kuih ini diambil dari Kedah dan dalam tempoh terdekat kita sasarkan untuk menggunakan 100 peratus bahan mentah dari negeri ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hiroyuki Komano berkata, selain ‘daifuku’ syarikatnya juga mengeluarkan produk manisan tradisi Jepun yang lain dan pihaknya akan menggunakan teknologi dari negara itu untuk menghasilkan produk-produk yang sesuai bagi pasaran negara ini dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Mukhriz memberitahu, usaha sama yang terjalin membuktikan bahawa syarikat tempatan juga mampu mengeluarkan produk bermutu tinggi yang diterima oleh syarikat dari Jepun.
“Saya yakin usaha sama ini akan membuka ruang dan peluang kepada perniagaan lain dan mungkin menjadi dorongan kepada syarikat tempatan lain untuk meneroka pasaran luar negara yang lebih luas,” jelasnya.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan