Tekad Jadikan Kedah Gedung Ilmu



11tekad
KUALA KETIL 11 Mac – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu semua graduan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berganding bahu menjadikan Kedah sebuah gedung ilmu bagi melahirkan modal insan berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

“Beta gembira melihat kemajuan dan perkembangan KUIN sekarang. Perpindahan ke kampus baharu di Kuala Ketil akan membuatkan KUIN lebih berdaya saing dan mampu meningkatkan bilangan pelajar ke tahap yang optimum di masa akan datang,” titah Baginda ketika merasmikan Istiadat Konvensyen KUIN Ke-16 di Kampus Kuala Ketil.

Baginda bertitah, semua warga KUIN perlu bekerja bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat yang dirancang. Baginda berharap kampus KUIN memberi nafas baharu kepada penerokaan ke arah kebijaksanaan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Canselor KUIN yang diiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Hajah Haminah Binti Haji Hamidun turut mencemar duli menyaksikan Istiadat Pemasyhuran Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Pro Canselor 1 KUIN.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir kerana kesungguhan membantu dan memartabatkan KUIN agar menjadi sebuah institusi pengajian tinggi perdana di rantau ini.

Baginda yakin, KUIN yang kini di bawah kepemimpinan Rektornya, Profesor Dato’ Mohd Yusof Kasim mampu terus bersaing pada tahap yang lebih tinggi, sekaligus mencapai taraf universiti penuh dalam tempoh terdekat.

Sempena konvokesyen itu, seramai 85 graduan menerima ijazah masing-masing yang membabitkan Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana pada sidang pertama itu. Seramai 1,253 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada sidang kedua konvokesyen berkenaan.
Sumber : UMTK