Kebajikan Kanak-Kanak OKU Tidak Diabai

5kebajikan

MERBOK 4 Febuari – Masyarakat tidak boleh sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mereka juga mempunyai kelebihan masing-masing, bahkan mungkin lebih hebat daripada kanak-kanak yang sempurna sifat.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (BIDARA), Tok Puan Norzieta Zakaria berharap agar tiada lagi kekangan minda dalam kalangan ibu bapa mahupun guru-guru dan masyarakat untuk mendidik anak-anak ini supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.

“Golongan ini juga perlu diberi ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020,” ujarnya sempena Lawatan Kasih Mesra ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Merbok.

Pada majlis itu juga, Tok Puan Norzieta Zakaria turut menyampaikan sumbangan kepada 40 warga emas serta ibu tunggal.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai.

Sumber : UMTK