Rileks Santai Bersama Orang Kena Pengawasan

17rilex

BALING 17 Disember - Masyarakat disarankan untuk sama-sama membantu menangani 'penyakit' penagihan dadah di kalangan mereka yang ingin berubah.

Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, 'penyakit' penagihan dadah ini amat membimbangkan kerana ia boleh membawa padah kepada mereka yang mengamalkannya.

"Penyakit ini amat merbahaya kepada diri mereka, termasuk juga kepada keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Ia perlu ditangani dengan kerjasama kita semua dan bukan hanya pihak polis ataupun Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sahaja yang menanganinya," katanya ketika berucap pada Majlis Rileks Santai Bersama Orang Kena Pengawasan (OKP) "Jaga Dia Untukku" di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Baling.

Beliau juga tidak mahu mereka ini dianggap sebagai sampah masyarakat dan mahukan semua pihak turut sama berjuang dan berusaha untuk memulihkan mereka daripada penagihan dadah.

"Walaupun pemulihan ini adalah daripada usaha dan kehendak mereka sendiri, tetapi kita perlu memainkan peranan untuk memberikan sokongan moral kepada mereka supaya mereka tidak terjebak lagi dengan kancah dadah," ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah AADK Negeri Kedah, Mohammad Nazer Mustafa; Ketua Polis IPD Baling, Superitendan Mat Daud Mat Hassan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah.

Sumber : UMTK