Program Berkhatan Beramai-ramai

17program

LANGKAWI 17 Disember -  Peralihan memasuki alam remaja menjadi pengalaman yang mengembirakan bagi 60 kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah.

Program julung-julung kali diadakan itu membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun yang dianjurkan bersama Klinik Kesihatan Kuah (KKK).  Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor  Saidi Nanyan.

Majlis menjadi lebih meriah apabila semua kanak-kanak terbabit dimandikan dengan semburan air yang disediakan pasukan bomba dan penyelamat sambil disaksikan lebih 100 tetamu.

YB. Nor Saidi berkata, sesi berkhatan percuma itu dianjurkan bagi membantu kanak-kanak dan waris yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama. Pemilihan kanak-kanak masing-masing dibuat oleh tujuh sekolah rendah dan lebih 20 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) dalam DUN Kuah.

"Bagi menampung penyertaan yang ramai ini, pihak KKK menugaskan lebih 10 petugas perubatan di samping dibantu jururawat bagi melancarkan program itu,” ujarnya.

Ashadam Isaac Rizal, 9 tahun berkata, dia tidak pernah takut untuk menjalani proses berkhatan, sebaliknya dia menganggap dirinya sudah dewasa selepas selesai menempuh pengalaman istimewa itu.

Mohd Haidal Ismail, 8 tahun dari Kampung Bohor Merah berkata, dia juga tidak takut untuk berkhatan bagi memastikan anggota badannya sentiasa bersih.

"Program ini juga memberikan satu pengalaman baru kepada saya dan perasaan bimbang hilang apabila melihat ramai rakan sebaya turut berkhatan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi ahli bomba.

Sumber : UMTK