Ketengah Reka Cipta Bernilai Komersial

30ketengah
KULIM 30 Oktober– Golongan pelajar di negeri ini yang meminati dunia reka cipta perlu mengetengahkan idea rekaan dan inovasi mempunyai kemampuan untuk dipasarkan kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, berikutan itu setiap rekaan atau inovasi yang dihasilkan seharusnya mempunyai nilai komersial dan mampu memberi sumber pendapatan kepada perekanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pameran Inovasi Eureka-EIE 2014 di Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI).

Katanya, sekiranya hasil rekaan atau inovasi yang dihasilkan itu tidak mempunyai nilai komersial, maka produk mereka tidak akan ke mana-mana. Penyelidikan adalah salah satu sektor yang sangat penting dalam sesebuah negara serta mendapat sokongan Kerajaan sehingga memberi bantuan untuk memajukan inovasi berkenaan.

“Sekiranya inovasi atau hasil rekaan itu hanya tersekat di bahagian penyelidikan dan pembangunan, tetapi tidak dapat dikomersialkan hasil rekaan itu, maka ia akan berakhir di bahagian berkenaan tanpa ada manfaat,” ujarnya.

Menurutnya, setiap hasil rekaan perlu ditumpukan kepada nilai komersial untuk dipasarkan pada masa depan, namun lebih penting perlu berminda positif, komitmen dan keinginan untuk cemerlang bagi menjayakan hasil rekaan mereka.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Kampus/Dekan UniKL-MSI, Profesor Dr Abu Talib Othman.

Sumber : UMTK