ALOR SETAR 30 Oktober– Prestasi
jabatan dan agensi Kerajaan yang menerima teguran melalui Laporan Ketua
Audit Negara berjaya dipulihkan sehingga kembali kepada kedudukan asal.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negeri Kedah (PAC), YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, semua jabatan
yang terlibat mengambil langkah pro-aktif dengan memperbaiki kelemahan
yang ditonjolkan dalam laporan itu pada setiap tahun.
Beliau berpuas hati dengan prestasi
memberangsangkan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan yang terlibat
kerana mengambil tindakan segera sebaik sahaja menerima teguran atau
maklumat mengenainya.
“Kebanyakan jabatan Kerajaan yang
menerima teguran dari Ketua Audit Negara berjaya memperbaiki kelemahan
dan kini sudah berada atas landasan sebenar. Jika sebelum ini, prestasi
jabatan Kerajaan di Kedah tiga tahun terkebelakang berbanding negeri
lain, kini ia setara dengan mereka,” ujarnya.
Menurutnya, pencapaian itu amat
membanggakan kerana mampu merealisasikan dengan bantuan pelbagai pihak
yang terlibat melalui pendekatan positif.
“Ini kerana PAC akan memanggil jabatan
terlibat untuk mendapat gambaran sebenar mengenai masalah yang timbul
dan cadangan untuk mengatasinya. Ahli PAC kemudian akan melawat jabatan
terbabit untuk mendengar taklimat terkini mengenai proses atau langkah
pemulihan yang diambil,” jelasnya.
Tambahnya, biasanya, selepas lawatan
itu, jabatan terbabit boleh diisytiharkan bebas daripada masalah atau
kelemahan yang ditonjolkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Sumber : UMTK