ALOR SETAR 29 Oktober - Jabatan Bomba
dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah kini berada dalam keadaan bersiap
sedia jika gelombang banjir melanda negeri ini.
Ketua Pengarah JBPM Kedah, Ahmad
Shahabudin berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti kesemua peralatan
operasi banjir yang perlu dan meletakkannya dalam keadaan bersedia dan
boleh digunakan pada bila-bila masa.
“Semua aset dan kelengkapan yang diperlukan untuk menghadapi banjir juga sentiasa dipantau agar berada dalam keadaan baik.
“Pihak kami juga baru sahaja menerima 10
bot aluminium yang akan diletakkan di lokasi yang telah dikenal pasti
sebagai kawasan yang selalu dilanda banjir,” katanya selepas menghadiri
majlis perhimpunan bulanan JBPM di sini ibu pejabat JBPM Jalan Tun Razak
di sini semalam.
Menurut Ahmad, dalam persediaan operasi
banjir bagi tahun ini Pelan Kontigensi Banjir juga telah disiapkan
sepenuhnya dan anggota bomba yang terlibat diberi latihan secara
berterusan untuk menghadapi keadaan tersebut.
“Latihan seperti menyelamat dalam air,
latihan inter-agensi dan sebagainya sentiasa dijalankan bagi memastikan
anggota kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.
“Kita bukan minta bencana banjir ini
namun kita perlu bersedia menghadapinya kerana keadaan cuaca yang tidak
menentu,” jelasnya.
Tambahnya, pihak JBPM juga telah
mengenal pasti 568 kawasan di beberapa daerah di negeri ini yang
berisiko tinggi dilanda banjir jika hujan lebat turun secara berterusan.
Jelasnya, antara kawasan tersebut ialah daerah Langkawi, Kubang Pasu, Baling, Kota Setar, Padang Terap dan sebagainya.
“Sehingga kini tiada laporan mengenai
gelombang banjir melanda negeri ini dan hanya terdapat banjir kilat yang
berlaku di beberapa kawasan.
“Pihak kami juga sentiasa memantau paras
air sungai di negeri ini dan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi
Malaysia dan Jabatan Pengairan Dan Saliran negeri,” ujarnya.
Sumber : UTUSAN