Kajian Perlu Dana RM100,000



29Kajian

ALOR SETAR 29 Oktober -  Jabatan Mineral dan Geosains Kedah memerlukan dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kajian geofizik di kawasan Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Kedah, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, perkara itu penting kerana setiap kajian memerlukan dana yang tinggi.

“Kerajaan perlu memandang serius perkara ini. Jabatan Mineral dan Geosains amat memerlukan dana dalam melakukan kajian di kawasan Kampung Lahar, Bongor, Baling. Mereka hanya ada kepakaran, tetapi tidak cukup dana,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di Kompleks Pentadbiran Anak Bukit.

Menurutnya, anggaran RM100,000 diperlukan sebagai permulaan untuk melakukan kajian di kawasan berkenaan. Setiap kajian memerlukan kos sehingga RM30,000 di sesuatu kawasan. Mereka tidak cukup dana untuk melakukan kajian seperti itu.

“Saya harap Kerajaan dapat melakukan tindakan segera sebelum perkara buruk berlaku kerana ia demi masa depan dan keselamatan penduduk Baling,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu mahu pembinaan masjid di Pekan Baling yang berdekatan dengan Gunung Baling perlu mendapatkan kelulusan teknikal daripada Jabatan Mineral dan Geosains.

Tambahnya, ia kerana Gunung Baling secara dasarnya dipenuhi dengan batu kapur dan mengundang bahaya kepada setiap pembinaan di kawasan berhampiran.

Sumber : UMTK