KUIN Sasar Jadi Universiti Penuh 2016

ALOR SETAR 18 Oktober - Kolej Universiti Insaniah (Kuin), kolej universiti milik kerajaan negeri Kedah, menyasarkan untuk mencapai taraf universiti penuh pada 2016.

Rektornya, Prof. Datuk Mohd. Yusof Kasim berkata, Kuin kini sebenarnya sudah hampir sempurna untuk mencapai status tersebut berdasarkan kemudahan yang ada selain pensyarah yang berkelayakan dan program yang ditawarkan juga lengkap.

Katanya, sebagai perancangan ke arah itu, operasi Kuin dan kebanyakan pelajar akan berpindah dari kampus sementara di Mergong di sini ke kampus tetap di Kuala Ketil pada Disember ini memandangkan semua kemudahan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Dari segi operasi kita pindah secara berperingkat. Yang tinggal hanya Kuliyyah Perubatan, Kaunseling dan Kejururawatan yang akan kekal di kampus Mergong, kerana lesennya di situ. Yang lain akan ke Kuala Ketil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis “Dialog Mengenai Dimensi Masa Depan Kewangan dan Perbankan Islam (IBF) di Malaysia” di sini hari ini. - BERNAMA.

Sumber: Utusan