Lechner Hampiri Kejuaraan Wanita Elit

LANGKAWI 18 Oktober - Peringkat keempat Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) Tradewinds 2014 menyaksikan Eva Lechner dari pasukan Colnago Sudtirol mengekalkan kedudkannya selaku pendahulu kategori elit wanita apabila menaiki tangga pertama podium buat kali kedua berturut-turut semalam.

Lechner menamatkan perlumbaan dengan masa satu jam 11 minit 17.70 saat, meninggalkan pelumba kebangsaan Slovenia, Blaza Klemencic (1'12:45.40s) di tempat kedua manakala Tanja Zakelj dari pasukan Unior Tools (1'13:25.90s) ketiga dalam saingan di trek Langkawi Geopark sejauh 4.1 kilometer dengan lima pusingan.

Kini, tumpuan lebih terarah kepada Lechner yang masih lagi mempertahankan jersi merah jambu setelah mengumpul masa terpantas 8'45:07.00s keseluruhan dengan persaingan untuk bergelar juara kategori elit wanita akan ditentukan dalam peringkat terakhir hari ini.

Dia kini berada 9:50.60s di hadapan Zakelj, diikuti Klemencic di tangga ketiga dengan berada 12:54.10s di belakang Lechner.

Bagi pelumba Itali itu, dia berpuas hati kerana segala perancangan yang diatur membuahkan hasil dan merapatkannya dengan habuan utama bernilai AS$15,000 (RM4,9257).

"Saya harap fizikal dan mental saya dalam keadaan cergas serta cerdas. Kalau semuanya berjalan lancar, sudah pasti saya akan meraih kemenangan. Lagi pun jarak keseluruhan masa di antara pelumba kedua dan ketiga terlalu jauh," katanya yang optimis akan dapat menebus kekecewaan selepas menduduki tempat ketiga pada edisi lalu.

Sementara itu, ratu basikal bukit kebangsaan, Masziyaton Mohd. Radzi berjaya memperbaiki kedudukan apabila melonjak ke tangga kelapan di peringkat keempat dengan rekod masa 1'26:52.70s manakala rakan senegara, Juss Junaidah di tempat ke-11 (1'29:52.70s).

Setakat ini, Masziyaton masih lagi mengungguli kelompok terbaik wanita Asia dengan merakam masa 10'46:32.10s keseluruhan, mengetepikan 17 peserta negara lain yang terdiri daripada pelumba Indonesia, Thailand, Filipina, China dan Timor Leste.

"Untuk perlumbaan terakhir esok, saya mahu buktikan bahawa pelumba wanita Malaysia boleh memberikan saingan sengit seterusnya mengekalkan kedudukan No. 1 Asia," katanya.

Sementara itu jersi hijau master lelaki masih kekal milik pelumba Britain, Nicholas Craig yang berjaya muncul juara peringkat keempat dengan catatan masa 40:17.60s, manakala jersi biru senior master lelaki masih disarung oleh Mads Boedker dari Denmark (44:34.50s).

Kategori terbuka lelaki pula dimenangi Surachet Sing-Jui dari pasukan Endurace Thailand dengan masa 44:12.10s.

Sumber : Utusan