Bangunan Kosong Jadi Tambahan Asrama KUIN

29Bangunan
ALOR SETAR 29 Oktober – Bangunan kosong akan diubahsuai menjadi asrama wanita Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil bagi menampung keperluan pelajar yang belum mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, proses pembinaan asrama yang sebelum ini terbengkalai dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi tetapi hanya mampu menampung kira-kira 1,000 orang.


Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah KUIN memberitahu, bangunan kosong yang diubahsuai turut dilengkapi kemudahan bilik air dan boleh menempatkan tambahan 1,000 pelajar.


“Mesyuarat teknikal mengenai perpindahan KUIN akan diadakan selepas sesi lawatan ke kawasan asrama dan bangunan kosong. Semua pelajar wanita akan ditempatkan di asrama dalam kampus manakala pelajar lelaki di rumah sewa di Taman Insaniah,” ujarnya.


Menurutnya, Pengurusan Perumahan Rakyat 1Malaysia juga bersetuju membeli beberapa rumah di Taman Insaniah untuk kemudahan kakitangan. Bagaimanapun, kuarters pensyarah masih dalam pembinaan dan sementara waktu, mereka masih tinggal di Mergong.

Sumber : UMTK