Ambil Tindakan Tutup Serta - Merta

27ambiltindakan
PADANG TERAP 27 Oktober– Semua premis hotel bajet dan rumah tumpangan di negeri ini yang dikesan beroperasi secara haram sehingga boleh mengancam keselamatan pengunjung akan ditutup serta-merta untuk mengelak sebarang kejadian buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya akan mengetengahkan perkara berkenaan dalam mesyuarat  Kerajaan Negeri untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya, sebelum ini pihaknya menerima laporan berhubung kewujudan  120 rumah tumpangan  dalam kawasan perumahan termasuk di Simpang Kuala, Alor Setar yang didapati diubah suai dengan pembinaan pintu besi hingga boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kebakaran.

“Kami akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah untuk memastikan tahap keselamatan premis berkenaan dan sekiranya ia beroperasi secara haram serta berbahaya kepada pengunjung maka kami perlu mengambil tindakan segera,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Ikhlas Barakah Warga Pendidikan Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang.

Selain itu, katanya, kewujudan rumah tumpangan haram di kawasan perumahan ini dikatakan turut menggalakkan aktiviti sosial dalam kalangan remaja.

Pada majlis itu, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menyerahkan wang tunai RM1,000 manakala YB. Badrol Hisham Hashim turut memberi sumbangan peribadi kepada ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dalam kereta bapanya di perkarangan sekolah berkenaan pada 20 Ogos 2014.

Sumber : UMTK