Boleh Mohon Khairat Kematian

27boleh
Oleh Opat Rattanachot

SUNGAI PETANI 27 Oktober - Rakyat negeri Kedah yang kematian ahli keluarga mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan khairat kematian sebanyak RM250 seorang.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad berkata, bantuan berkenaan merupakan sumbangan daripada kerajaan negeri dan disalurkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing atau menerusi penyelaras yang dilantik.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, banyak pihak tidak mengetahui bantuan khairat kematian tersebut.

“Khairat kematian ini diperkenalkan kerajaan negeri mulai Januari lalu. Ia diagihkan secara berperingkat. Bantuan ini disalurkan kepada waris yang mana orang meninggal dunia itu merupakan anak Kedah dan menetap di negeri ini semasa hayatnya.

“Sungguhpun begitu ramai masih tidak tahu wujudnya bantuan berkenaan malah ada juga pihak-pihak tidak bertanggungjawab mempolitikkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khairat kematian kepada 30 waris penduduk Mukim Sidam Kiri di Kampung Padang Buluh dekat sini hari ini.
Yang hadir bersama ialah Penghulu Mukim Sidam Kiri, Mahdzir Mahmud dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Mashitoh Mohd. Yusof.

Abdul Rahim berkata, sumbangan khairat kematian berkenaan juga disalurkan kepada rakyat negeri Kedah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Sehubungan itu, mereka yang kehilangan ahli keluarga sejak Januari lalu hingga kini, boleh membuat permohonan dengan mengisi borang dan mengepil bersama salinan kad pengenalan waris serta salinan sijil kematian atau permit perkuburan.

“Borang permohonan boleh didapati di pejabat UMNO Bahagian atau pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) berdekatan,” katanya.

Sumber : UTUSAN