Usahawan Perlu Daftar Segera Dengan Matrade - Mukhriz

SUNGAI PETANI 23 September - Usahawan di negeri ini perlu mendaftar sebagai ahli Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi mendapatkan maklumat pasaran serta peluang perdagangan terkini di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Matrade sebagai Agensi Promosi Perdagangan Malaysia bersama-sama agensi lain yang berkaitan dapat membantu usahawan terbabit meningkatkan keupayaan bagi meneroka pasaran luar negara.

Katanya, kerajaan negeri dan Matrade sentiasa bekerjasama dalam memberi maklumat terkini perniagaan global dan peluang-peluang perdagangan kepada syarikat dari semasa ke semasa.

"Jika usaha ini berjaya, akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Kedah serta mempermudah lagi eksport barangan keluaran tempatan ke luar negara dengan lebih cepat dan efisien.

"Syarikat di Kedah perlu memanfaatkan maklumat ini dan bantuan yang disediakan oleh Matrade. Mereka juga harus berani dalam mengembangkan prospek perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan 'home grown brand' berkembang di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Forum Pengeksport Matrade 2014 di sini hari ini yang dihadiri 180 usahawan tempatan terdiri daripada penuntut universiti, pengusaha sektor makanan, pengangkutan dan pengilangan.

Forum tersebut merupakan usaha berterusan Matrade dalam memperkasa pengeksport Malaysia di pasaran global, sekali gus menggalakkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Ini bagi menyebarkan maklumat terkini berkaitan aktiviti Matrade, keperluan dan peluang pasaran serta berkongsi pengalaman dengan syarikat tempatan yang telah mencapai kejayaan di pasaran antarabangsa.

Kata Mukhriz, usaha dilakukan ini boleh melahirkan lebih ramai usahawan berjaya untuk meneroka perniagaan ke peringkat antarabangsa.

"Syarikat-syarikat tempatan perlu berusaha tanpa merasa takut dan ragu-ragu untuk membawa barangan dan perkhidmatan masing-masing ke pasaran dunia," katanya.

Sehubungan itu, Mukhriz meminta usahawan tempatan terus mengikuti program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Matrade melalui Program Dana Usahawan, Program Pembudayaan Keusahawanan, Program Pembangunan Perniagaan, Program Infra Usahawanan, Program Pembangunan Francais Tempatan, Program Latihan Lanjutan dan Peningkatan dan Program Penganjuran Misi Perdagangan yang bakal diadakan nanti.

Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad pula berkata, sehingga ini, hanya 312 syarikat di Kedah mendaftar dengan Matrade dan daripada jumlah itu, 79 adalah syarikat bumiputera dan 31 syarikat dikendalikan usahawan wanita.

Menurutnya, kakitangan Matrade turut memperkenal program turun padang untuk berkongsi pendapat bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di syarikat berkenaan.

"Matrade turut memperkenal Program Go-Ex bagi menyasarkan sejumlah 1,400 syarikat dalam jangka masa lima tahun untuk dibimbing dan dibangunkan untuk menjadi pengeksport yang berdaya saing di pasaran antarabangsa," katanya.

Tambahnya, Program Pembangunan Syarikat Mid-Tier diperkenalkan untuk membantu syarikat-syarikat pertengahan sehingga berjaya menjadi juara serantau dan global.

"Ini dilakukan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan di Malaysia yang bergiat dalam inovasi dan pembangunan teknologi untuk terus maju di pasaran antarabangsa," tambah Noraini.

Sumber : UTUSAN