Kerajaan Negeri Rancang Bina MRO

23kerajaan                                                           Mukhriz Mahathir
Oleh ABDUL RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI 23 September - Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan sebuah hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam industri aeroangkasa berhampiran kawasan yang dicadangkan untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, cadangan tersebut turut dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Majlis Ekonomi baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memperuntuk sebidang tanah berhampiran lapangan terbang antarabangsa tersebut bagi membangunkan MRO itu yang bakal memacu Kedah sebagai hab aeroangkasa di rantau ASEAN.

"Kita bukan semata-mata hendak bina lapangan terbang tetapi turut merancang berkaitan logistik dan pembangunan hab MRO yang dilihat sebagai pencetus untuk menarik pelaburan baharu.

"Apabila ada lapangan terbang antarabangsa di kawasan luas, taman industri baharu mampu diwujudkan dan bakal menjadi tarikan kepada pemain utama dalam sektor MRO untuk menempatkan perkhidmatan di lapangan terbang ini. Industri penerbangan dan pesawat membangun dengan pesat terutama dengan Dasar Langit Terbuka ASEAN 2015," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Negeri Kedah di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani di sini, kelmarin yang turut dihadiri Presiden PPP, Tan Sri M. Kayveas.

Menyentuh tentang cadangan lapangan terbang antarabangsa baharu itu, kata Mukhriz, pihaknya optimis dengan taklimat yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut dan berharap kajian berkaitannya akan diadakan secepat mungkin.

Mukhriz berkata, rakyat bakal menikmati lebih banyak pembangunan dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim nanti.

Sumber : UTUSAN