RM10j Bina Tapak Ujian Solar

KULIM 20 September - Pembuat panel solar terkemuka Amerika Syarikat, First Solar Inc. terus komited menanam modal di negara ini apabila mengumumkan pelaburan terbaharunya untuk membina tapak pengujian panel solar bernilai RM10 juta di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dekat sini.

Naib Presiden Operasi Pembuatannya, Tymen De Jong berkata, tapak pengujian yang dinamakan Kulim Test Site itu dibina atas tanah seluas 2.0 hektar (5 ekar) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengujian produk panel solar.

Katanya, tapak pengujian panel solar yang dijangka siap pada bulan Mac 2015 itu juga merupakan yang pertama dan terbesar di negara ini.

"Apabila siap kelak ia dijangka mampu membantu proses R&D produk. Kapasiti pengujian adalan kira-kira 8,000 modul panel dan pada masa sama ia dapat menjana tenaga elektrik sehingga 750 kilowatt (kW) atau bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk 300 buah rumah sehari.

"Tenaga elektrik ini juga akan disalurkan untuk kegunaan pusat data dan sebahagian operasi kilang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah tapak yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Norsabrina Mohd. Noor, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan First Solar (M) Sdn. Bhd., P'ng Soo Hong dan Presiden Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd (KTPC), Anuar Mohd. Safar.

De Jong berkata, kewujudan tapak pengujian tersebut dapat memberikan manfaat dari segi pemindahan teknologi serta membantu proses R&D dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui pada masa akan datang.

"Selain itu, kita juga bercadang membuka tapak ini untuk tujuan lawatan dalam kalangan pelajar sekolah atau pun industri apabila siap kelak," jelasnya.

Sementara itu, Soo Hong berkata, setakat ini First Solar menanam modal RM4 bilion di Malaysia dengan sebahagian besarnya untuk pembangunan kilang pengeluaran di KHTP.

Sumber : UTUSAN