Program Azam Tani Tingkatkan Taraf Hidup

3Azam
Harun Aziz (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan Azam Tani berupa motosikal roda tiga kepada peserta projek, Mohamad Sabari Hashim (tengah) pada penutupan Kursus Modal Insan dan Pengurusan Kewangan Peserta Azam Tani MARDI Negeri Kedah dan Pulau Pinang di Baling, baru-baru ini.

BALING 3 September - Program Azam Tani yang dimulakan sejak 2010 menunjukkan prestasi positif apabila pendapatan pesertanya didapati meningkat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Aziz berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Projek ini adalah salah satu daripada inisiatif di bawah program 1Azam yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Kerajaan amat komited memastikan rakyatnya mendapat satu punca pendapatan yang tinggi memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Modal Insan dan Pengurusan Kewangan Peserta Azam Tani Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Kedah dan Pulau Pinang di Bayu Hotel di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ADUN Bayu, Azmi Che Husin; Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Jamaludin Salim; Pengarah MARDI Kedah, Rashidan Ariffin dan Pengarah MARDI Pulau Pinang, Azmi Abd Razak.

Sementara itu, Harun berkata, projek individu diberi kepada peserta yang produktif berdasarkan kemampuan, kemahiran dan minat mereka.

"Jabatan dan agensi pelaksana seperti MARDI akan memastikan projek yang ingin dijalankan oleh peserta adalah berdaya maju dan berdaya tahan," katanya lagi.

Sementara itu, Jamaludin berkata, terdapat sembilan kategori aktiviti yang dijalankan oleh peserta.
"Antara kategorinya ialah tanaman, ternakan, perikanan, perniagaan hasil pertanian, penghasilan produk-produk industri asas tani , perkhidmatan pertanian, menjahit pakaian, pertukangan tangan dan agrotourism.

"Kita juga memberi bantuan projek dengan nilai maksimum RM10,000 secara berpakej kepada peserta, antaranya mesin jahit, alatan pemprosesan makanan dan minuman, kiosk bergerak, gerai tetap, motosikal roda tiga dan sebagainya yang bersesuaian," jelasnya

Sumber : UTUSAN