NCIA Serius Jayakan Projek Hospital, Lebuh Raya

4ncia
Sabrina Mohd. Noor (tengah) dan Redza Rafiq Abdul Razak (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk sempena program Kembara Seindah Syawal 2014 di Kampung Celong, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT

BANDAR BAHARU 4 September - Projek pembinaan sebuah hospital baharu dan lebuh raya yang menghubungkan daerah ini dengan Sungai Petani bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila beberapa pihak kini bersetuju menjayakan projek terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklimat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Sabrina Mohd. Noor berkata, antara badan terbabit adalah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Malah katanya, perbincangan secara serius berhubung pelaksanaan projek tersebut juga telah dijalankan kerajaan negeri dengan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak baru-baru ini.
"Kedua-dua projek tersebut merupakan antara akujanji Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

"Projek ini bakal direalisasikan tidak lama lagi dengan kerjasama beberapa pihak termasuk NCIA dan kerajaan pusat,'' katanya kepada pemberita selepas majlis Kembara Seindah Syawal 2014 anjuran NCIA di pekarangan Masjid Al-Ridzuan, Kampung Celong di sini, baru-baru ini.
 
Sabrina berkata, berdasarkan perancangan kerajaan negeri, projek lebuh raya terbabit mempunyai jarak kira-kira 80 kilometer menghubungkan Bagan Samak, di sini dan melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) hingga ke Amanjaya, Sungai Petani.

Katanya, kewujudan lebuh raya baharu tersebut dijangka memberikan manfaat besar termasuklah merancakkan lagi ekonomi di beberapa kawasan seperti Sungai Kob, Padang Serai dan Mahang.

"Lebuh raya ini akan memendekkan jarak antara daerah Bandar Baharu dengan Sungai Petani hampir 20 kilometer berbanding laluan sedia ada di Lebuh Raya Utara Selatan," katanya.

Sementara itu, Redza Rafiq berkata agenda pembangunan yang ditekankan NCIA adalah berteraskan kesaksamaan dengan warga setempat bagi memastikan faedah dapat dirasai bersama.

Katanya, NCIA juga bersedia memberikan sokongan padu dari aspek pembangunan bagi mempercepatkan projek seperti hospital dan lebuh raya berkenaan.

Sumber : UTUSAN