Perbincangan Dengan Pemimpin Setempat Perlu, Elak Salah Faham

8perbincangan
MUKHRIZ Mahathir (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada seorang pemimpin tempatan, Hashim Md. Isa dari Kampung Padang Tembak selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Kulim/Bandar Baharu di Kulim, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 8 September - Kerja-kerja membawa pembangunan kepada rakyat perlu dibincang bersama antara penjawat awam dengan pemimpin masyarakat tempatan bagi mengelak timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kampung.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, penjawat awam perlu memaklumkan sesuatu projek yang hendak dilaksanakan sama ada di bawah kelolaan kerajaan Pusat atau negeri, termasuk kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.

"Kita mahu pemimpin berkenaan mengetahui secara jelas sebelum sesuatu projek itu mahu dilaksanakan bagi mengelak penduduk tempatan membuat bantahan dan lain-lain." katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Dewan Bandaran Kulim di sini kelmarin.

"Biasanya projek hendak dilaksanakan itu boleh memberi pelbagai kebaikan tetapi apabila ada ahli Parlimen dan ADUN Barisan Nasional (BN) tidak mengetahui hujung pangkalnya, banyak masalah boleh timbul," katanya.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib dan 485 perwakilan UMNO Kulim/Bandar Baharu.

"Kerajaan akan terus melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat, bagaimanapun, setiap masalah yang ada di peringkat kampung perlu dibincang terlebih dulu bagi mengelak kita dituduh tidak mesra rakyat," katanya lagi.

Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeriberkata, perkara-perkara tidak puas hati membabitkan penduduk kampung perlu ada kesepakatan untuk sama-sama memperelokkannya.

Mengenai masalah jalan raya yang lebih baik antara Kulim ke Bandar Baharu, beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian tentangnya.

"Masalah Hospital Bandar Baharu yang dibangkitkan sebelum ini juga akan diberi keutamaan dan usaha menaikkan taraf pembangunan daerah Bandar Baharu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukan mudah untuk memenangi hati rakyat terutama hal-hal berkaitan projek pembangunan," tambahnya.

Sumber : UTUSAN